Faedah-Faedah Menyertai Badan Beruniform

Faedah-Faedah Menyertai Badan Beruniform

Aktiviti kokurikulum didefinisikan sebagai gerak kerja di luar bilik darjah untuk membantu pelajar meningkatkan kualiti dalam bidang kurikulum. Setiap pelajar wajib melibatkan diri dalam kegiatan kokurikulum yang melibatkan tiga bidang, iaitu badan beruniform, kelab atau persatuan, serta sukan. Penglibatan pelajar dalam aktiviti kokurikulum akan dicatatkan di dalam buku kokurikulum. Untuk mencerahkan peluang ke institusi pengajian tinggi awam, setiap pelajar wajib mendapat sepuluh peratus markah kokurikulum. Selain kelab atau persatuan dan sukan, apakah faedah penyertaan pelajar dalam badan beruniform di sekolah?

Penyertaan dalam badan beruniform dapat membina ketahanan mental dan fizikal. Hal ini demikian kerana semasa melakukan aktiviti badan beruniform kita terpaksa melakukan pelbagai aktiviti lasak seperti mendirikan khemah, memasak, membersihkan kawasan, aktiviti fizikal, dan sebagainya. Selain kekuatan fizikal, aktiviti badan beruniform memerlukan kita bersabar dan mematuhi setiap arahan. Kepatuhan dan kesabaran inilah yang akan membentuk ketahanan mental kita. Aktiviti lasak pula akan membentuk ketahanan diri. Ketahanan fizikal dan ketahanan mental dapat membantu kita menghadapi pelbagai cabaran pada masa depan. Jelaslah bahawa penyertaan dalam badan beruniform dapat membina ketahanan mental dan fizikal.

Seterusnya, penyertaan dalam aktiviti badan beruniform dapat memupuk semangat kerjasama dan disiplin. Semangat kerjasama dan disiplin ini dibentuk melalui aktiviti secara berkumpulan. Contoh terbaik untuk memerihalkan hal ini ialah aktiviti kawad kaki. Ketika berkawad, kita mestilah bersatu hati dan sentiasa fokus pada setiap arahan yang diberikan oleh ketua kumpulan. Jika salah seorang daripada kita tidak memberikan kerjasama atau tidak berdisiplin, maka kawad kaki itu tidak kemas dan menjadi cacat kerana “bersekutu bertambah mutu”. Aktiviti badan beruniform juga memupuk diri kita agar berdisiplin terutamanya yang berkaitan dengan aspek menepati masa yang menjadi asas pembentukan disiplin diri. Ternyatalah bahawa penyertaan dalam badan beruniform dapat memupuk semangat kerjasama dan disiplin dalam diri kita.

Selain itu, ahli badan beruniform akan memperoleh pengetahuan asas tentang bantuan kecemasan. Hal ini dapat dilihat dengan jelas melalui kemahiran yang dimiliki oleh ahli badan beruniform seperti Persatuan Bulan Sabit Merah dan St. John Ambulans. Mereka dilatih untuk menyelamatkan mangsa apabila ditimpa sesuatu musibah. Misalnya, ketika kejohanan olahraga sekolah diadakan, ahli-ahli badan beruniform diminta bersiap siaga untuk memberikan bantuan kecemasan kepada pelajar yang mengambil bahagian dalam sukan tersebut. Pengalaman yang dilalui semasa melakukan aktiviti-aktiviti tersebut dapat dijadikan panduan dan dimanfaatkan pada masa akan datang. Sudah terang lagi bersuluh, penyertaan dalam aktiviti badan beruniform membolehkan kita memperoleh pengetahuan asas tentang bantuan kecemasan.

Kesimpulannya, penglibatan dalam aktiviti badan beruniform banyak mendatangkan manfaat kepada kita. Justeru, kutiplah pengalaman sebanyak yang boleh kerana pengalaman yang ditimba pada hari ini akan mendatangkan manfaat yang besar pada masa akan datang. Untuk menarik minat pelajar mengikuti aktiviti badan beruniform, pihak sekolah haruslah mengambil pelbagai langkah yang proaktif dan efektif. Galakan dan sokongan moral daripada ibu bapa juga penting untuk mendekatkan pelajar dengan aktiviti badan beruniform.

.

This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s